"TETAP AKAN KEKAL IMEJ RAMBUT KERINTING" - SAHARA YAACOB

loading...
"TETAP AKAN KEKAL IMEJ RAMBUT KERINTING" - SAHARA YAACOB
Penyanyi yang mendapat jolokon 'Tina Turner Malaysia' sebelum ini, Sahara Yaacob bertegas dengan pendiriannya iaitu akan terus kekal dengan imej rambut keriting palsu ketika menjayakan persembahan pentas, meskipun sudah berselendang.
Ini kerana kata Sahara, beliau mahu kemunculan semulanya sebagai penyanyi kekal dengan imej lama, kerana gaya seperti itu membuatkan beliau lebih menjiwai lagu dipersembahkan.
"Apabila di atas pentas, saya akan terus menjadi Sahara Yaacob. Saya yang mencipta imej Sahara sebelum ini dan itulah saya apabila di atas pentas.
Klik untuk gambar besar
"Ia mengingatkan kebahagiaan dan penderitaan saya pada zaman era kegemilangan saya sebelum ini, sekali gus menyuntik karakter saya yang berbeza.
"Peminat pun mahu melihat saya dengan imej lama. Kemunculan saya pada Anugerah Melodi, baru-baru ini, menunjukkan peminat masih mahukan saya yang dulu," katanya.
Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Mohd Yaacob berkata demikian bagi mengulas mengenai imej sebenar dirinya sejak beliau membuat kemunculan semula menerusi Anugerah Melodi yang berlangsung Disember lalu.
Bagaimanapun tambah Sahara, yang akan genap usia 60 tahun hari ini, beliau akan berimej selendang seperti biasa apabila tidak mengadakan persembahan nyanyian. Pada masa sama Sahara turut berharap masyarakat dapat menerima cara dan imejnya itu dengan hati terbuka.
"Apabila keluar daripada suasana nyanyian, saya akan berubah karakter dan menjalani kehidupan biasa. Imej saya pun seperti yang semua dapat lihat sebelum ini, iaitu berselendang. Saya harap agar ia tidak menjadi bualan negatif di kalangan orang ramai," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Sahara bakal muncul dengan lagu baharu berjudul Tangisan Marhain di bawah terbitan Universal Music.

Sumber: Berita Harian
loading...

loading...
facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close