loading...
Penyanyi Ameng (Spring) bersedia menanggung risiko markahnya dipotong pada persembahan konsert akhir Gegar Vaganza 3 yang bakal berlangsung minggu depan berikutan dia menyanyikan lagu sendiri.
Ameng terkejut dapat lagu sendiri untuk final GV3 tetapi bersedia dipotong markah
Ketua juri Datuk Ramli MS berkata, pihaknya sudah menjelaskan beberapa kemungkinan yang berlaku kepada peserta jika mereka membawakan lagu sendiri.
Katanya, peserta tersebut tidak mendapat markah penuh berikutan tiada cabaran daripada segi penghafalan lirik baru.
“Perkara ini saya sudah jelaskan kepada peserta, jika mereka bawa lagu sendiri tiada markah penuh diberikan kerana ia kerja mudah dan tidak perlu untuk menghafal lirik.
“Sebab itu saya suka jika mereka diberikan lagu-lagu baru yang lebih mencabar dan memerlukan mereka untuk buat kajian. Lagu-lagu lama yang popular kebanyakkannya sudah menjadi lagu makanan mereka ketika mengadakan persembahan,” ujarnya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas konsert Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, malam Ahad.
Ameng bakal membawakan lagu popularnya iaitu Bouganvilla dan Romantissecara madley pada pentas akhir itu nanti.
Sementara itu, Ameng berkata, kedua-dua lagu yang diterimanya daripada senarai lagu pilihan yang diberikan dia kepada pihak produksi sejak bermula program itu.
Katanya, dia sendiri terkejut menerima lagu berkenaan pada konsert akhir.
“Pada awal program pihak produksi minta kita senaraikan lagu yang menjadi pilihan kita, saya letak beberapa lagu termasuk beberapa lagu sendiri.
“Saya juga ada pilih beberapa lagu baru seperti lagu rap, tidak sangka pula lagu sendiri pula diberikan untuk peringkat akhir ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ameng berkata, dia tidak kisah jika markah dipotong dan enggan terlalu memikirkan tentang kemenangan.
Dia berkata, apa yang lebih penting dapat menamatkan pertandingan tersebut dengan memberikan persembahan terbaik.
“Pada tahap ini saya tidak fikir lagi menang atau kalah. Saya tidak kisah pun jika markah dipotong kerana saya sudah terima apa sahaja keputusan nanti.
“Apa yang saya fikirkan sekarang ialah perjalanan selepas tamatnya program ini,” ujarnya yang mengakui banyak tawaran yang terpaksa ditolak disebabkan komitmen terhadap Gegar Vaganza.
Manakala, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pihak Astro menjalankan proses penjurian secara telus berdasarkan markah yang diberikan oleh juri.
Katanya, peserta juga diberi kelonggaran jika ingin menukar lagu mereka seperti yang dilakukan peserta-peserta sebelum ini.
“Peserta memang diberi kelonggaran untuk bawa lagu sendiri tapi mereka sudah diberitahu oleh juri bahawa markah akan dipotong atas beberapa sebab jika bawa lagu sendiri.
“Namun, lagu sendiri tetap ada cabarannya kerana kita mahu mereka membuat susunan baharu dan berbeza daripada lagu asal,” ujarnya.
loading...