loading...
SHAH ALAM 7 Dis. - Selangor akan bercuti pada 13 Disember ini sempena Hari Keputeraan ke-71 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya.
Menurut beliau, cuti itu adalah sebagai cuti ganti memandangkan tarikh hari keputeraan baginda jatuh pada Ahad (11 Disember).
"Sekiranya cuti umum jatuh pada hari Ahad, hari Isnin merupakan cuti ganti tetapi memandangkan Isnin adalah cuti umum sempena Maulidur Rasul, jadi cuti bagi negeri Selangor akan digantikan pada Selasa.
"Perkara ini terkandung dalam Pekeliling 10/2015 yang dikeluarkan hujung tahun lepas mengenai cuti-cuti umum bagi negeri Selangor tahun 2016," katanya sebagaimana lapor Bernama.
Dalam perkembangan berbeza, Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan yang mengatakan KSN mengisytiharkan 13 Disember ini sebagai hari kelepasan am.
Menurut Pejabat KSN, kenyataan berkenaan tidak pernah dikeluarkan oleh Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan 13 Disember 2016 bukanlah hari kelepasan am.
Semalam, tersebar satu mesej di media sosial mengatakan kononnya Ali mengisytiharkan 13 Disember ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong baharu pada hari berkenaan.
Sumber: Utusan Online
loading...