loading...
PEMERINTAH Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz.
RIYADH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz, memecat Menteri Buruh selepas statistik baru-baru ini menunjukkan peningkatan kadar pengangguran di negara pengeksport minyak terbesar dunia itu.
Dalam perintah diraja yang dibacakan menerusi televisyen, Raja Salman turut merombak badan agama tertinggi negara itu, Majlis Ulama Kanan dan Majlis Syura, yang menjadi penasihat kerajaan.
Perubahan dibuat ketika negara itu bersiap sedia melaksanakan pembaharuan yang dicadangkan oleh Visi 2030, menyasarkan pengurangan kebergantungan kepada minyak, menarik pelaburan asing dan mempromosikan lebih banyak keterbukaan budaya.
Televisyen melaporkan, Raja Salman melantik Ali bin Nasser al-Ghafis sebagai Menteri Buruh baru menggantikan Mufrej al-Haqbani.
Ghafis ialah ketua Perbadanan Latihan Teknikal dan Vokasional, rangkaian kolej yang didirikan untuk melatih belia negara itu dalam bidang perdagangan.
Program berkenaan sekian lama dianggap tidak berkesan tetapi menerima nafas baru di bawah pentadbiran bekas Menteri Buru, Adel Fakieh, yang kini tokoh terkemuka dalam inisiatif Arab Saudi mengadakan transformasi ekonominya yang bergantung kepada minyak.
Raja Salman juga menukar ketua Majlis Syura negara itu dan menggantikan beberapa anggotanya.
Beberapa anggota majlis berkenaan baru-baru ini dikecam di media sosial kerana mencadangkan atau menyokong potongan sebahagian faedah sosial dan peningkatan harga beberapa perkhidmatan asas.
loading...