loading...
“PENYOKONG pasti tidak tahu bagaimana pegawai-pegawai dan para pemain kelab memanipulasikan wang kelab,” kata Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menurutnya, selama empat tahun berada dalam industri bola sepak, beliau bersyukur kerana berjaya belajar dengan cepat berbanding orang lain dalam arena itu.
“Persoalannya ialah adakah mereka peduli atau tidak? Ia bukan wang mereka, ia adalah wang kerajaan,” katanya seperti dipetik dalam laman Facebook Johor Southern Tigers di sini semalam.
Tunku Ismail berkata, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mempunyai pilihan, tetapi perlu mengambil tahu.
“Kerana kami bertanggungjawab ke atas setiap wang kelab kami yang diberikan oleh penaja dan penyokong.
“Membelanjakan wang kelab tanpa keperluan dianggap sebagai kegagalan, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima,” katanya.
Pemilik Kelab Bolasepak JDT itu berkata, hanya terdapat dua jenis pemain import yang bermain di Malaysia.
Katanya, pertama adalah pemain yang dibayar dengan harga yang tinggi.
Manakala, kedua adalah pemain yang tidak boleh mendapatkan pekerjaan untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi di Eropah atau Asia.
“Saya pernah bertanya soalan ini kepada Pablo Aimar, mengapakah kos lebih mahal untuk membawa pemain ke Asia Tenggara? Beliau menjawab, kerana apabila kita memasuki Asia Tenggara, kita sudah berada di luar radar dunia bola sepak.
“Itulah masanya saya mula mempelajari lebih lanjut tentang industri bola sepak. Itulah sebabnya juga apabila JDT menandatangani pemain-pemain yang mahal, ia berserta dengan harga yang akan membolehkan kami untuk menjual mereka kembali ke Eropah atau negara-negara lain,” katanya.
Wang bukan segalanya...itu mengarut!
Mengulas mengenai laman Facebook yang memaparkan posting berkaitan seorang pemain yang berkhidmat di utara tanah air mengatakan bola sepak bukanlah mengenai wang, Tunku Mahkota Johor memberitahu pemain itu adalah individu yang secara peribadi memberitahu sedang menunggu panggilan daripadanya di Larkin.
“Pemain yang sama adalah orang yang secara peribadi memberitahu saya di Larkin selepas perlawanan itu, ‘Saya menunggu panggilan anda’.
“Pemain yang sama juga meminta Bojan Hodak menyampaikan mesejnya kepada saya bahawa JDT adalah satu-satunya kelab di Malaysia yang dia mahu bermain atau sekiranya tidak berjaya, beliau akan pergi ke Eropah,” katanya.
Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu turut menjelaskan dua fakta pemain terbabit menandatangani kontrak di negara ini.
“Yang pertama kerana JDT mempunyai perancangan yang lain, dan kedua ialah dia tidak berjaya mendapatkan pekerjaan atau tidak cukup baik untuk bermain di Eropah.
“Walau apa pun, saya ucapkan maju jaya kepadanya.
“Oleh itu, apabila laman tersebut menulis perkara seperti wang bukanlah segalanya adalah mengarut. Dalam perniagaan bola sepak, wang adalah segala-galanya,” katanya.
Sebab di sebalik kekerapan tukar pemain
Selain itu, Tunku Ismail turut memberitahu mengapa kelab di Malaysia sering menukar pemain import dan perbelanjaan menjadi lebih berganda daripada yang sepatutnya.
“Jawapannya mudah, ini kerana beberapa jurulatih sengaja menukar pemain supaya mereka boleh berkongsi wang dengan ejen dan mendapat manfaat daripada wang kelab.
“Ini biasanya berlaku apabila kelab-kelab dikendalikan oleh orang yang tidak tahu tentang perniagaan bola sepak,” katanya.
TMJ akui JDT juga pernah menjadi mangsa (dikendali orang yang tidak tahu tentang perniagaan bola sepak) pada satu ketika dahulu.
“Sekarang tidak lagi kerana saya belajar dan memantau segala-galanya. Wang kelab adalah daripada penaja dan penyokong kami dan ia perlu sentiasa dilindungi.
“Melainkan jika anda menghabiskan wang rakyat daripada sumber kerajaan, menjual gelaran seperti beberapa pesaing kami, jadi jika begitu ia tidak akan menjadi masalah,” katanya.
Tunku Ismail berkata, JDT menjalankan perniagaan untuk mengekalkan kelab, manakala pihak lain menggunakan kelab untuk membuat wang bagi diri sendiri.
“Itulah perbezaan antara kami dan mereka. Kami menjalankan perniagaan untuk mengekalkan kelab. Mereka menggunakan kelab untuk membuat wang untuk diri mereka sendiri.
“Bukan sahaja melibatkan bola sepak, tetapi pegawai kerajaan juga perlu menjaga duit rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi.
“Ke bawah Duli Tuanku dan saya sentiasa memantau perbelanjaan kerajaan negeri supaya duit rakyat sentiasa dijaga,” katanya.
loading...