loading...
Tak percaya? Lihat DI SINI:
Mereka pernah mengecapi zaman kegemilangan di era 60-an. Selain bakat lakonan yang mantap, mereka juga disanjung, digilai dan dijadikan idola dek kecantikan wajah yang tiada tolok bandingnya waktu itu.
1. Datuk Maria Menado
Nama asalnya Liesbet Dotulong dilahirkan di Tonsea, Minahasa, Manado, Sulawesi Utara. Sesiapa saja yang memandangnya pasti terpesona dengan kejelitaan wajahnya, jika tidak masakan Sultan Pahang sendiri, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin berjaya ditawan cintanya. Digelar Grace Kelly Malaysia satu masa lalu, Datuk juga pernah dinobatkan sebagai ‘Wanita Terjelita Malaya’ oleh Times Magazine dan ‘Wanita Berpakaian Paling Menarik’ oleh United Press International.
2. Datuk Sarimah Ahmad
Siapa yang tidak kenal dengannya, maka anda tidak cukup syarat sebagai peminat filem Melayu lama! Punya wajah sempurna sebagai seorang primadona, tidak hairanlah Datuk antara pelakon paling cepat naik dan popular. Kecantikan luar biasanya itu mendorong syarikat kosmetik terkemuka, Max Factor mengambilnya sebagai model mereka satu ketika dulu. Beliau yang banyak mengamalkan petua cantik daripada arwah ibunya telah berkongsi tipsnya itu dalam buku ‘Petua Kecantikan Daripada Luar dan Dalam’.
3. Zaiton Abdullah
Mungkin ada yang tidak bersetuju InTrend meletakkanya di tangga ke empat, tapi di mata saya, dialah pelakon yang memiliki wajah Melayu klasik paling semula jadi dan sangat menawan. Berkulit sawo matang, seniwati ini mula diberi perhatian menerusi filem Hang Tuah yang berjaya melonjakkan namanya. Beliau pernah menjadi satu-satunya artis Melayu yang dipilih mewakili Malaysia dan Singapura ke Pacific Festival yang berlangsung di San Franciso, California pada September 1958.
4. Latifah Omar
Beliaulah seniwati paling manis sekali, dengan ‘susuk’ tahi lalat di bawah bibirnya yang menyerlahkan keayuan gadis wanita Melayu terakhir. Siapa tidak angau mengenangkan wajahnya dalam filem Bawang Putih, Bawang Merah. Siapa tidak rindu senyum simpulnya dalam Gurindam Jiwa? Pernah membintangi 35 buah filem sepanjang bergelar pelakon, beliau membuktikan bahawa dia adalah pelakon berpakej lengkap; tidak hanya cantik malah punya bakat lakonan yang mantap.
5. Datin Saadiah
Atau nama sebenarnya, Satya Baharom, ibu kepada pelakon terhormat, Fauziah Datuk Ahmad Daud antara primadona yang akan dikenang sepanjang zaman. Sama seperti Latifah Omar, beliau juga punya kemanisan rupa menerusi tahi lalat bawah bibirnya itu. Walaupun bertubuh montok, beliau tetap tampil menggoda. Tidak hanya cantik pada rupa, suara lunak manjanya itu juga menjadi aset buatnya. Datin juga menjadi Pengarah FilemWanita Melayu Pertama menerusi filem Ceritaku, Ceritamu.
6. Rahmah Rahmat
Namanya mungkin tidak sehebat primadona yang di atas-atas tadi. Tapi, pada mata saya, beliau punya kecantikan eksotik yang jarang ada pada wanita Melayu lama. Wajahnya sensual dan punya senyuman yang sangat menggoda. Walaupun jarang diberi watak utama, namun beliau dianugerahi banyak bakat lain yang hebat. Beliau mampu menyanyi dan menari dengan baik kerana itu beliau kerap diberi karekter sebagai penari atau penghibur istana.
7. Datin Roseyatimah
Seniwati Roseyatimah dilahirkan dalam keluarga seni. Selain berbakat besar dalam bidang seni, beliau juga dikurniakan wajah klasik Melayu yang anggun dan manis. Selari dengan wajah nan jelita, beliau juga dikhabarkan punya sifat lemah-lembut yang sinonim wanita Melayu. Perkahwinan dengan Datuk Mustapha Maarof kekal hingga ke akhir hayatnya. Anak mereka memberitahu semasa hayat bapanya kerap kali menceritakan kerinduaanya terhadap arwah ibu.
8. Puan Sri Saloma
Namanya sangat agung dalam sejarah industri seni tempatan. Suri hati lagenda P.Ramlee ini punya sejarah hidup penuh warna dan pernah difilemkan oleh anak saudaranya sendiri, Melissa Saila. Puan Sri mungkin tidak menepati definisi cantik yang klise, tetapi kecantikan terserlah menerusi suara lunaknya yang bak buruh perindu juga perwatakan dirinya yang eksklusif. Gayanya dia atas pentas juga tersendiri tanpa perlu banyak menggerakkan tubuh. Dan, jangan lupa potongan badannya yang bak kerengga itu.
9. Datin Umi Khaltum
Isteri kepada Allahyarham Datuk S Roomai Noor ini pernah diangkat sebagai ‘Wanita Melayu Paling Jelita’ di seluruh Singapura dan Malaya. Beliau juga yang bergelar ibu kepada pelakon Noor Kumalasari dan ibu tiri penyanyi Anita Sarawak ini mula disunting menjadi pelakon oleh pengusaha filem veteran, Ho Ah Loke. Memiliki wajah bujur sirih dengan rupa paras persis wanita moden waktu itu, Datin dilihat berbeza daripada pelakon lain di eranya.
loading...